Wednesday 10 June 2009

Pakcikku Kemalangan, Apak dan Melawat Kembali Kuala Sungai Woh

Pada hari Selasa yang lalu, pakcik saya telah mengalami kemalangan di Tapah ketika dalam perjalanan pulang dari kejohanan kriket di Pulau Pinang. Dia yang menaiki bas bersama-sama kontinjen kriket Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor (MSSSS) telah mengalami keretakan kecil di bahagian rusuk dan luka-luka kecil di bahagian belakang badan dan kaki. Alhamdulillah, melihatkan keadaan bas yang begitu teruk, dia hanya mengalami kecederaan ringan. Jadi, semalam saya telah ke Hospital Tapah tempat pakcik saya dirawat untuk melawatnya. Pada hari yang sama juga pakcik saya telah dibenarkan keluar dari hospital. Butiran lanjut boleh anda baca dari laman web Utusan. Saya berdoa agar pakcik saya cepat sembuh.



Mangsa kemalangan yang masih dirawat. Pakcik saya duduk ditengah-tengah


Baju yang dipakai ketika kemalangan


Posing sikit di katil pakcik saya


Selepas lawatan singkat di Hospital Tapah, kami sekeluarga ke pekan Tapah untuk makan tengah hari. Kami menjamu selera di sebuah kedai yang menyajikan pelbagai lauk untuk makan tengah hari dan yang paling menarik perhatian saya ialah pelbagai pilihan ayam panggang, daging kambing panggang dan ikan bakar.

Menyelerakan!

Selesai menjamu selera, saya terpandang wajah yang saya kenal walaupun ada sedikit berbeza. Saya akhirnya menegur Apak (a.k.a Izhar) yang merupakan rakan satu batch saya (00'4) di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban (SDAR). Kami berbual seketika dan bertukar-tukar cerita terbaru tentang diri masing-masing. Apak bersama-sama keluarganya baru selesai bercuti di Cameron Highland. Setelah berbual lebih kurang, saya meminta diri untuk meneruskan perjalanan.


Apak yang semakin besar atau saya yang tidak membesar langsung?


Kami meninggalkan pekan Tapah untuk ke Kuala Sungai Woh. Kali pertama saya ke sini ialah dua tahun lepas semasa mengikuti rombongan pengawas sekolah emak yang mengadakan kem kepemimpinan di sini. Kawasan ini merupakan kawasan perkelahan yang unik kerana mempunyai mata air panas di dalam sungai. Jadi, apabila mandi di sini, kita boleh merasakan ada sesetangah tempat berasa panas dan sejuk kerana mata air panas terdapat di dasar sungai ini. Saya tidak berpeluang untuk berendam dalam sungai kerana tidak membawa baju basahan (sangat rugi), jadi saya hanya berjalan-jalan di sekitar kawasan perkelahan ini.


Kuala Sungai Woh


Jambatan gantung


Kira-kira pukul 5.00 petang, kami bertolak pulang ke Banting. Sesungguhnya perjalanan kali ini agak menarik kerana walaupun singkat dan jauh (ulang alik dari Tapah dalam masa sehari) tetapi masih sempat melawat salah satu kawasan perkelahan kegemaran saya dan berjumpa sahabat yang sudah lama tidak berjumpa.


p/s: Trio S.Y, K.E dan Krill bercuti selama seminggu daripada mengendalikan segmen Sinar Pagi. Pengganti mereka, Najman dan Azrul sangat membosankan. Jadi bertukar selera ke Riuh Pagi di Era bersama Aznil dan Din Beramboi sebagai halwa telinga semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Layan juga dengar mereka mengarut~

2 comments:

ngengngok said...

aku teruja tgk mknan yg spt maha lazat. esp segale panggang2 thu

afiqms said...

yaaa... my fevret~