Friday 28 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 15 (Lobak Putih)

Pada hari ini, saya lihat benih lobak putih mula mengeluarkan 4 daun. Namun begitu, kadar pertumbuhan adalah tidak sekata. Jadi, saya membuat keputusan untuk memindahkan anak pokok lobak putih ke dalam bekas polisterin hari ini.

Insya Allah, hasilnya boleh dikutip kira-kira 45 hari dari sekarang. Itu bermakna, saya boleh mengutip hasilnya pada 12/10/2015. Semoga benih-benih ini terus membesar dan mengeluarkan hasil.

Benih lobak putih di dalam bekas polisterin

Monday 17 August 2015

Detour Worth Taking

Today I am going to work as usual. But the WhatsApp group is full of chatter about an accident in Kampung Nyiur, Paka which caused a long traffic jam.


Long queue at Durian Mentangau junction


As I am nearing Durian Mentangau, the traffic jam has worsen. After a quick consideration, I have decided to take alternative route via Durian Mentangau, taking a left turn into FELDA Kerteh 2 and 3, then took Jalan Santong to Paka and then arrived in PCOGD.

The distance is 25 km longer (normal distance is 25 km) and the travel time is 10 minutes longer than the usual (normal travel time is 30 minutes). It is not a bad thing either as I do not know how long will I stuck in the traffic congestion if I decided to wait and take the normal route.

Moreover, I get to drive in quite scenic route which has a lot of bends along the way. This is perfect condition to drive my car which is equipped with adjustable suspension and grippy AD08R rubbers providing phenomenal bites when attacking those corners.

Entering FELDA settlement really brings back the memory of my hometown in FELDA Sungai Kelamah, Negeri Sembilan. They looks just the same! I hope my atuk and uwan are doing well at the kampung.


Entering FELDA Kerteh 2 area


After 40 minutes and 50 km of driving, I have safely arrived in PCOGD at around 0850 hrs. Time to get back to work!

Sunday 16 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 14 (Bercambah Lagi!)

Kelihatan banyak anak benih mula bercambah hari ini.


Benih di dalam dulang semaian

 
 Anak pokok sawi


Anak pokok tomato


Anak pokok lobak putih

Friday 14 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 13 (Benih Mula Bercambah, Pokok Belalai Gajah dan Limau Purut)

Alhamdulillah, benih yang disemai oleh isteri saya 4 hari lepas telah mula bercambah. Pada hari ini saya dapati benih bayam dan sawi telah mula bercambah dan mengeluarkan daun. Saya juga telah mula menyiram benih yang bercambah ini dengan baja foliar 22:22:10:10:1 untuk menggalakkan pertumbuhan benih.


 Benih sawi dan bayam mula kelihatan




Hari ini juga pokok limau purut dan pokok belalai gajah yang saya pesan dari Jazlym Biznet FB telah sampai. Harga untuk kedua-dua pokok ialah RM 25.00. Saya bercadang untuk memindahkan pokok-pokok ini ke dalam pasu yang lebih besar esok atau pun lusa.

Dari kiri: Pokok limau purut dan pokok belalai gajah




Thursday 13 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 12 (Tanah Baja Siap Diisi)

Hari ini kami menyambung kembali kerja mengisi tanah ke dalam tapak batas yang tergendala semalam kerana hujan.

Mengangkut tanah menggunakan kereta sorong


Akhirnya setelah 3 kali perjalanan mengangkut tanah, tapak batas telah penuh diisi dengan tanah baja (topsoil).


Mengisi tanah ke dalam tapak batas


Kemudian isteri saya menabur baja tahi ayam di atas tanah dan saya menggaulnya.


Tanah siap digaul rata dengan baja tahi ayam


Setelah siap menggaul rata baja, saya menutup tapak batas dengan kanvas untuk mengekalkan kelembapan tanah dan mengelakkan rumput daripada tumbuh sebelum kami menyemai anak pokok nanti.


Menutup tapak batas dengan kanvas

Wednesday 12 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 11 (Kereta Sorong dan Sekup)

Hari ini saya menambah lagi dua peralatan ke dalam simpanan kami, kereta sorong dan sekup. Dua alat ini sangat membantu saya untuk kerja-kerja membawa tanah baja dari luar rumah ke kawasan tapak batas.

Saya membeli alat-alat ini di kedai barangan hardware berdekatan rumah kami. Kereta sorong yang dibeli mempunyai bucket yang dibuat daripada plastik. Bucket plastik ini lebih tahan lama, tidak berkarat dan tidak reput seperti bucket besi. Kereta sorong ini berharga RM 115.00 setelah tawar-menawar. Manakala sekup pula dari jenis biasa berhulu kayu dibeli dengan harga RM 8.00. Jadi kesemuanya berjumlah RM 123.00.


Kereta sorong dan sekup


Selepas membeli-belah di kedai hardware tersebut, saya terus menyambung kerja-kerja mengisi tanah. Dengan adanya kereta sorong, kerja-kerja memindahkan tanah dapat dibuat dengan lebih pantas.

Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Baru dua kali perjalanan memindahkan tanah, hujan mulai turun pada puku 6:30 petang. Oleh itu, saya telah menghentikan kerja-kerja mengisi tanah dan akan menyambung kembali kerja pada keesokan harinya.

Harap-harap cuaca baik esok petang.


Ada sedikit kemajuan

Monday 10 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 10 (Mula Menyemai Benih)

Hari ini isteri saya mula menyemai benih di dalam dulang semaian. Benih yang disemai adalah:
  1. Lobak merah
  2. Kuchai
  3. Lobak putih
  4. Bayam
  5. Tomato
  6. Sawi

Benih yang disemai di dalam dulang semaian (germination tray)

Pada hari ini juga bungkusan mengandungi baja telah diterima daripada Diaripetani.com. Terima kasih.

Baja foliar yang dikirim

Sunday 9 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 9 (Tanah Tak Cukup!)

Alhamdulillah cuaca pada petang ini baik, tidak hujan seperti 2-3 hari lepas. Jadi, saya pun mula meletakkan tanah di dalam tapak batas yang telah dibuat sebelum ini. Namun, 18 kampit tanah bakar ternyata tidak mencukupi untuk mengisi tapak batas!

18 kampit tanah bakar tidak cukup!

Jadi, saya mula mencari alternatif lain. Setelah mencari idea di Internet dan forum, saya mengambil keputusan untuk menggunakan tanah merah (tanah baja) untuk lapisan bawah dan meletakkan tanah bakar untuk lapisan atas.

Saya terus menghidupkan motosikal saya dan pergi ke kedai input pertanian bersebelahan dengan 7-Eleven Alor Tempoyak. Saya membeli 5 kampit besar tanah hitam pada harga RM 11.60 sekampit. Jadi jumlah harga yang dibayar untuk 5 kampit besar ialah RM 58.00 termasuk penghantaran ke rumah! Jadi, untuk lebih jimat, carilah tanah bakar di kedai input pertanian (biasanya hanya menjual barangan input pertanian seperti baja, makanan ternakan dan sebagainya).

Tanah hitam yang dibeli dari kedai input pertanian berhampiran, dapat diskaun bila beli 5 kampit

Selepas itu saya mula berfikir di mana hendak mendapatkan tanah baja? Disebabkan tapak batas memerlukan kuantiti tanah yang banyak untuk mengisi ruang yang telah dibuat, saya berfikir untuk membeli tanah secara pukal.

Jadi saya berjalan di sekitar Dungun sehinggalah saya ternampak iklan di suatu kawasan yang sedang ditarah bukit untuk tujuan pembangunan berhampiran Kolej Vokasional Dungun. Saya terus menghubungi nombor yang tertera di iklan dan panggilan saya dijawab oleh seorang lelaki. Rupa-rupanya dia berada di kawasan tersebut. Pada mulanya dia mahu menjual selori tanah baja pada harga RM 100.00 tetapi saya tidak memerlukan tanah sebanyak itu kerana ruang yang kecil.

Tempat saya membeli tanah baja sebanyak setengah lori

Setelah berbincang, saya ditawarkan untuk membeli separuh lori tanah baja pada harga RM 50.00 dan terus bersetuju. Tanah baja diisi ke dalam lori dan dihantar ke rumah saya 15 minit kemudian. Syukur akhirnya masalah tanah berjaya diselesaikan.

Setengah lori tanah diletakkan di depan rumah

Alhamdulillah.

Saturday 8 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 8 (Hujan Lebat)

Sejak dua tiga hari ini, hujan lebat turun pada waktu petang. Jadi, saya tidak boleh memulakan kerja-kerja mengisi tanah ke dalam batas. Cukup atau tidak tanah bakar yang saya beli dua hari lepas?

 
Air bertakung dalam tapak batas

Thursday 6 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 7 (Membeli Tanah Bakar dan Keperluan Lain)

Hari ini saya telah ke Rohana Nursery untuk membeli barang-barang berikut:
  1. 18 kampit tanah bakar = RM 40.00 (RM 20.00 untuk 9 kampit)
  2. 2 dulang semaian = RM 10.00
  3. 2 kg baja tahi ayam = RM 5.00
Jadi kesemuanya berjumlah RM 55.00.

Tanah bakar dan baja tahi ayam

Perjalanan dari Paka balik ke rumah pada hari ini merupakan perjalanan yang paling memualkan bagi saya setakat ini. Ini kerana bau baja tahi ayam sangat menusuk hidung walaupun diletakkan di bahagian but kereta.

Pada hari ini juga, bungkusan dari Diaripetani.com telah sampai. Walaubagaimanapun, saya dapati hanya benih sahaja yang sampai. Saya terus menghubungi penjual berkenaan dengan bungkusan yang tidak lengkap. Tanpa banyak soal, penjual mengakui kesilapan dalam penghantaran dan akan menghantar baja kemudian.

Biji benih yang diterima

Wednesday 5 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 6 (Siap Mencangkul dan Menyusun Batu-Bata)

Alhamdulillah, akhirnya saya Berjaya menyiapkan kawasan batas berukuran 2.58 meter X 1.29 meter dan mempunyai kedalaman lebih kurang satu inci. Saya juga telah menyusun batu-bata sebanyak 36 ketul seperti dalam perkiraan awal saya dahulu.
 
Apabila batu-bata telah disusun rapi, langkah seterusnya adalah untuk mengisi tanah yang sesuai untuk penanaman.

Batu-bata telah siap disusun di sekeliling tapak batas

Tuesday 4 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 5 (Merancang Tanaman dan Membeli Bahan Keperluan)

Hari ini saya sambung mencangkul seperti biasa. Saya juga berbincang dengan isteri tentang pemilihan tanaman. Kami bersetuju untuk membeli benih dan baja foliar dari Diaripetani.com. Benih dan baja yang kami beli adalah:

Benih
  1. Tomato King Kong (tanam dalam pasu)
  2. Daun Ketumbar (tanam dalam pasu)
  3. Lobak Merah (tanam dalam bekas)
  4. Sawi Jepun (tanam atas batas)
  5. Lobak Putih (tanam dalam bekas)
  6. Bayam Daun Bulat (tanam atas batas)
Baja
  1. 22.22.10.1 (Penggalak pertumbuhan)
  2. 13.26.26 (Penggalak bunga dan buah)
Kesemua baja dan benih berharga RM 30.00 termasuk penghantaran. Pembayaran dibuat melalui Maybank2u.

Saya juga membeli 40 ketul batu-bata yang berharga RM 0.27 setiap ketul dari kedai hardware yang hanya 10 meter dari rumah. Jadi, jumlah harga batu-bata adalah RM 10.80. Ditambah caj penghantaran RM 5.00 (kerana mereka mengambil stok dari tempat lain), kesemuanya berjumlah RM 15.80. Penghantaran batu-bata dibuat pada hari yang sama kerana jarak rumah kami dengan kedai adalah dekat.

Tinggal sedikit sahaja yang perlu dicangkul

Monday 3 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 4 (Masih Mencangkul)

Tiada banyak yang ingin diperkatakan. Cuma lebih kurang 40% sahaja kawasan yang siap dicangkul. Tanah keras dan berbatu menyukarkan keadaan.


Sunday 2 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 3 (Cangkul)

Setelah membuat sempadan menggunakan cangkul kecil semalam dan juga melalui kepayahan mencangkul di tanah yang keras dan berbatu, saya sedar saya memerlukan cangkul besar.

Jadi, dalam perjalanan ke tempat kerja saya singgah di kedai hardware di Kampung Nyiur, Paka. Saya telah membeli cangkul dengan harga RM 30.00.

Pada waktu petang selepas waktu kerja, saya mula mencangkul. Sememangnya bukan mudah untuk mencangkul walaupun kawasan yang dicangkul hanyalah seluas 3.33 meter persegi, tetapi dek kerana tanah yang keras dan berbatu menyukarkan kerja-kerja mencangkul.

Setelah mencangkul selama 2 jam (dan juga masa rehat yang tak terkira) hanya lebih kurang 15% sahaja siap. Saya berhenti mencangkul untuk hari ini dan bersambung keesokan harinya.

Masih banyak yang perlu dicangkul

Saturday 1 August 2015

Jurnal Tani PT14198 : Bahagian 2 (Mengenalpasti Tapak)

Saya telah mengenalpasti tapak yang strategik di belakang rumah sebagai tapak untuk kebun kami. Walaubagaimanapun, tanah di belakang rumah adalah dari jenis tanah liat dan berbatu. Bagus untuk tapak rumah tetapi kurang sesuai untuk pertanian.

Jadi saya telah memperuntukkan kawasan seluas lebih kurang 2.58 meter lebar dan 1.29 meter untuk dibuat batas. Saya mula menanda kawasan sempadan menggunakan cangkul kecil dan saya dapati tanahnya keras dan berbatu.

Ini merupakan cabaran pertama saya dari sekian banyak cabaran yang akan saya hadapi nanti. Tetapi alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan.

Jika perkiraan saya tepat, saya memerlukan kira-kira 36 biji batu-bata untuk membuat sempadan batas nanti.

Garisan sempadan batas di belakang rumah dibuat menggunakan cangkul kecil