Pada tarikh hari ini di tahun 2000, aku mule meneroka Lembah Sikamat yang terletak di pinggir ibu negeri Negeri Sembilan, Seremban. Pada hari ini jugalah aku menjejakkan kakiku di tanah bertuah Sekolah Dato' Abdul Razak yang menjanjikan harapan, 'dugaan' dan juga 'cabaran'. Kehadiranku sekeluarga disambut dengan mesra oleh abang-abang pengawas (tiada kakak-kakak disini, tapi 'kakak-kakak'? Hurmmm....). Namun kemesraan itu hanyalah untuk mengabui mataku yang begitu 'excited' apabila mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama penuh itu, mungkin rakan-rakan dalam Warisan 00'4 turut merasakan perkara yang sama ketika itu. Aku ditempatkan di dorm A5 untuk tahun itu. Keadaannya tidaklah seselesa bilikku dirumah, tapi masih layak untuk dipanggil tempat berlindung. Tepat pukul 6.00 petang, bermulalah kehidupan warga Warisan 00'4 sebagai lelaki sejati (perh!) yang tahan lasak, berstamina tinggi (setakat ketuk ketampi 100 kali dan masih boleh berjalan-jalan di Seremban semasa outing adalah perkara enteng sahaja), tahan maki hamun dan sebagainya yang pastinya tidak terbayang oleh pelajar yang tak pernah duduk di sekolah berasrama. Aku belajar di kelas 1 Ungku Omar dan aku telah berkenalan dengan ramai rakan baru dari serata Malaysia yang akan duduk, makan dan belajar bersama untuk lima tahun yang berikutnya. Perbendaharaan kata kami juga telah bertambah dengan pengenalan beberapa perkataan seperti makun, anor, jolap, fly, moncoi (sekadar menyebut beberapa perkataan). Tahun ini merupakan tahun di mana segala-galanya bermula untuk Warisan 00'4 membina jati diri sebagai seorang pelajar di salah sebuah sekolah premier lelaki di Malaysia.
2001
Tahun pertama telah kami harungi dengan jayanya walaupun kami menyaksikan beberapa orang yang 'tewas' kerana tidak mampu mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba di Lembah Sikamat ini. Bagi kami yang masih tinggal, kehidupan diharungi dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Tahun pertama hanyalah untuk 'conditioning' sahaja atau lebih kepada pengenalan kepada kehidupan yang lebih mencabar di tahun kedua. Pada masa inilah, kekuatan akal melebihi kekuatan fizikal untuk membuatkan hidup kami selesa di sini. Ada yang terlepas, ada juga yang tidak mempunyai pilihan lain dan akhirnya mereka ini menjadi pakar dalam bidang yang diceburi. Larangan untuk makan makanan fly juga telah dimansuhkan pada tahun ini dimana pelajar-pelajar senior mengenakan hukuman membeli makanan fly sekiranya dorm kami didapati kotor (supaya senior boleh mendapatkan makanan fly percuma sekiranya belian dilakukan secara pukal - beli 8 dapat 1 makanan percuma). Ketika ini aku telah ditempatkan di dorm A11 yang terletak di paras paling neraka di blok A. Tahun ini kami saling mengenali sesama warga batch Warisan 00'4 dengan lebih baik dan lebih banyak menghabiskan masa bersama-sama, sama ada ketika di padang sekolah ataupun di blok D ketika inspection. Pada tahun ini juga kebanyakan warga batch telah dikesan bakatnya dan menceburkan diri dalam pelbagai bidang sama ada dalam pertandingan berbentuk akademik atau pun sukan. Tahun ini merupakan tahun terakhir kami menghidup udara Lembah Sikamat yang tenang kerana SDAR akan berpindah ke kampus baru di Sg. Gadut, Senawang pada tahun berikutnya. Hari-hari terakhir kami di Lembah Sikamat telah dipenuhi dengan pelbagai perbuatan laku musnah kerana kami ingin meninggalkan sesuatu kepada penghuni bangunan penuh bersejarah ini yang seterusnya (Saiban) memori bahawa kamilah penduduk asal di tanah ini. Selamat tinggal 'G', cendol Megaway, Centrepoint dan macam-macam lagi.
2002
Tahun ini kami menggalas harapan sekolah dalam PMR di kampus baru yang lebih selesa, teratur dengan infrastruktur kelas pertama untuk sebuah sekolah kerajaan (sekolah mana yang dilengkapi dengan televisyen di setiap kelas pada waktu itu selain SDAR), bas baru (yang warnanya tak berapa menarik). Pada tahun ini juga menyaksikan sejarah di mana batch 98'2 sebagai batch paling senior tahun ini membuat perubahan besar dalam sistem senioriti SDAR dan kehidupan bertambah menarik dan hubungan inter-batch menjadi semakin baik. Aku masih belajar di kelas 3 Ungku Omar dan guru kelasku merupakan seorang Ustaz yang mempunyai perwatakan yang sangat menarik. Hidup kami pada waktu itu sangat lively dan energetic kerana dikelilingi oleh guru yang berkaliber dan sempoi dalam mempersiapkan kami menghadapi PMR yang bakal menjelma. Tahun ini juga menyaksikan anugerah kelas terbersih dianugerahkan secara bergilir-gilir dikalangan kelas-kelas Tingkatan 3 sahaja, sesuatu yang boleh dibanggakan untuk seluruh warga Warisan 00'4. PMR akhirnya menjelang tiba dan seluruh warga Warisan 00'4 memberikan yang terbaik demi mengangkat nama sekolah dalam PMR. Aktiviti selepas PMR pula diisi dengan pelbagai aktiviti berfaedah seperti tayangan wayang gambar 'The Legend of Speed III'. Alhamdulillah, keputusan PMR batch kami boleh dibanggakan walaupun Panitia Pendidikan Islam menerima tamparan yang hebat daripada pengetua kami yang masih single walaupun sudah berkahwin.
2003
Tahun ini kami menginjak ke tingkatan 4 dan memulakan cabaran kami untuk menghadapi SPM. Benarlah kata orang, tingkatan 4 merupakaan honeymoon year untuk pelajar sekolah menengah dan kelihatan seluruh warga Warisan 00'4 sangat bersetuju dengan konsep itu. Kebanyakan ahli batch telah diberi kepercayaan oleh pihak sekolah untuk mengendalikan sektor-sektor kritikan di sekolah, terutamanya dalam pengurusan acara. Boleh dikatakan semua acara sekolah pada tahun itu dikendalikan oleh batch kami. It seems like we owned the school during that time. Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja acara yang dianjurkan oleh pihak sekolah termasuklah menjadi tuan rumah untuk pertandingan Wind Orchestra untuk tahun kedua berturut-turut. Pelajar tingkatan 5 pula seolah-olah memberikan sekolah kepada kami kerana mereka mahu menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada SPM... dan usaha mereka itu berbaloi. Pada penghujung tahun, kami dikejutkan oleh perubahan pucuk pimpinan tertinggi sekolah. Pengetua kami yang sempoi telah berpindah ke sekolah lain dan digantikan oleh pengetua baru yang kurang hebatnya.
2004
Tahun terakhir kami di bumi persada cita ini. Tahun ini juga kami merupakan 'raja' disekolah walaupun kuasa kami terbatas dek kerana pucuk pimpinan baru ini sangat 'mesra' pelajar junior. Walau bagaimanapun, fokus kami kepada SPM merupakan agenda utama. Niat pihak sekolah untuk menjadikan persekitaran sekolah lebih baik telah memberi kesan negatif kepada pelajar-pelajar senior kerana pendekatan yang digunakan oleh pihak sekolah telah membuatkan pelajar-pelajar junior hilang rasa hormat kepada guru dan pelajar senior. Kes-kes disiplin melibatkan pelajar junior juga semakin bertambah kerana pelajar senior telah muak dengan peraturan baru pihak sekolah. Ada juga dikalangan kami yang telah difitnah oleh pelajar junior sehingga dikenakan hukuman yang paling berat oleh pihak sekolah. I really admired your bravery and determination in defending the truth, dude! Perkara-perkara sebegitu sama sekali tidak menjejaskan fokus kami untuk menghadapi SPM yang merupakan penentu masa depan kami kelak. Tahun terakhir kami di SDAR ditutup dengan majlis perpisahan di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur dan itu merupakan acara terakhir kami bersama sebelum membawa haluan masing-masing selepas ini. Namun cabaran kami tidak berakhir pada malam itu sahaja, pemeriksaan rambang oleh Unit SBP (yang diketuai oleh bekas guru kami sendiri) menambah pedih di luka kami pada hari-hari terakhir kami. Namun, sebagai budak SDAR yang 'kuat dan tahan lasak', kami tidak sedikit pun terkesan dengan tindakan itu. Malah kami boleh berbangga kerana kami telah banyak meninggalkan legacy di tanah keramat SDAR yang menjadi ikutan oleh pelajar-pelajar SDAR yang seterusnya. To my fellow Warisan 00'4, happy 5th birthday to ourselves lads!
p/s: Catatan ni aku tulis berdasarkan ingatan aku sepanjang 5 tahun berada di SDAR bersama-sama ahli Warisan 00'4. Mungkin ada yang tak lengkap dan aku amat mengalu-alukan ahli batch untuk sama-sama mengenang kembali memori kita di SDAR. Sila tinggalkan di ruangan komen. Berilmu untuk Berjasa! :)