Hari ini aku bangkit jam 4:45 pagi. Niat di hati ingin bersahur dengan makanan berat seperti nasi berlauk atau pun set sarapan McDonald's kerana hari ini aku akan menyertai acara berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Masjid Hadhari, Paka anjuran tempat kerja aku.
Jadi dengan langkah yang malas, aku mencuci muka serta menyarung jaket dan seluar untuk bersiap-siap untuk keluar. Aku capai kunci TakBolehBlah dan tergesa-gesa menuruni tangga hanya untuk mengetahui bahawa rakan serumah meletakkan keretanya betul-betul di hadapan rumah dan menghalang aku daripada mengeluarkan kereta aku. Sememangnya kawasan perumahan tempat aku tinggal mengalami masalah kekurangan tempat letak kereta yang serius dan aku amat maklum akan hal itu.
Tak mengapa, aku naik ke bilik untuk mengambil kunci motor BuJanG ku. Masih ada ruang untuk menyelit keluar jika aku menaiki motorsikal. Aku terus ke motorsikal ku, membuka mangga kunci yang terpasang di tayar hadapan dan terus menghidupkan enjin motorsikalku. Enjin motorsikalku dihidupkan, memecah keheningan pagi di Kerteh yang aman damai ini. Tetapi bila aku mahu bergerak, aku sedar tayar belakang motorsikal BuJanG ku pancit. Mungkin cubaan Ramadhan bagi aku hari ini. Aku harus bersabar.
Aku amat memerlukan tenaga tambahan semasa bersahur kerana hari ini aku menjadi ahli jawatankuasa untuk majlis berbuka puasa anjuran tempat kerjaku. Aku harus berfikir pantas tentang sumber tenaga yang aku perlukan semasa bersahur. Aku terus ke dapur dan mengambil tiga biji telur untuk ku buat telur separuh masak.
Mudah dan cepat disediakan. Rendam telur di dalam air panas selama lima minit, dan makan bersama lada hitam dan kicap lemak manis cap Kipas Udang. Gabungan kurma dan sekotak susu turut menjadi santapan di kala bersahur. Syukur, aku masih boleh bersahur. Dugaan di bulan Ramadhan datang dalam pelbagai bentuk, dan ianya tidak bukan adalah untuk menguji kesabaran hamba-Nya. :)
p/s: Besok balik Banting! (BBB)
p/s: Besok balik Banting! (BBB)