Tuesday, 1 September 2015

Liputan WiFi Di Rumah Saya

Kebanyakan rumah di Malaysia sekarang mempunyai capaian Internet. Internet jalur lebar seperti TMNet Streamyx banyak dilanggan oleh pengguna kerana kelajuan yang agak laju (bermula dari 1Mbps sehingga 8Mbps, bergantung kepada kawasan), stabil pada kebanyakan masa dan mempunyai kuota data yang tidak terbatas.

Cara yang paling mudah untuk mengakses Internet di rumah adalah dengan menggunakan teknologi tanpa wayar WiFi. Di masa ini, semua peranti mudah alih seperti telefon bimbit, tablet dan juga komputer riba dilengkapi dengan WiFi. Berbanding cara dahulu menggunakan kabel LAN, WiFi lebih mudah serta tiada wayar yang berselirat.

Sungguhpun begitu, terdapat banyak pilihan modem WiFi di pasaran. Ada yang mahal dengan pelbagai fungsi tambahan seperti keupayaan untuk menjadi hos untuk pencetak, network attached storage (NAS) dan juga mempunyai 2 atau 3 antenna untuk menambah liputan WiFi di rumah. Modem yang murah hanya menawarkan fungsi asas sahaja dan tiada fungsi tambahan seperti modem yang mahal.

TP-Link TD-W8970 dengan 3 antena untuk lebih jangkauan, NAS dan hos pencetak


D-Link DSL-2640B diberi percuma oleh pihak TM untuk langganan Streamyx saya


Jadi, adakah yang mahal itu lebih baik?

Tidak semestinya.

Jadi saya ingin berkongsi dengan pembaca blog ini (jika ada), kekuatan liputan WiFi di dalam rumah saya. Rumah saya ini merupakan sebuah rumah setingkat dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air. Saya menggunakan modem berjenama D-Link model DSL-2640B yang dibekalkan oleh TM. Berikut merupakan pelan lantai rumah saya (tidak mengikut skala).

 Lakaran pelan lantai rumah saya, modem diletakkan di atas almari


Saya mengambil bacaan kekuatan isyarat WiFi di dalam rumah saya dengan menggunakan aplikasi Wifi Analyzer yang dimuat turun ke dalam telefon bimbit LG Nexus 4 saya.

Paparan aplikasi WiFi Analyzer (dimuat turun dari Google Play)


Berikut merupakan bacaan kekuatan isyarat WiFi yang diambil di pelbagai tempat dalam rumah saya. Oleh kerana bacaan kekuatan isyarat WiFi ini adalah dalam nilai negatif, maka lebih kecil nombor negatif bermakna isyarat WiFi adalah lebih kuat.

KAWASAN KEKUATAN ISYARAT WiFi
(dBm)
Tandas 1 -63 (3 bar)
Bilik 1 -62 (3 bar)
Bilik 2 -55 (4 bar)
Tandas 2 -67 (3 bar)
Bilik 3 -69 (3 bar)
Dapur -58 (3 bar)
Ruang Tamu -48 (4 bar)

Berdasarkan keputusan dalam jadual di atas, ternyata modem percuma yang diberi sudah cukup untuk memberi liputan WiFi yang kuat di dalam rumah saya. Perlu diingat, modem ini mudah rosak jika berlaku ribut petir di kawasan kita. Jadi, kos mengganti perlu diambil kira. Sebagai contoh, modem yang mahal seperti TP-Link TD-W8970 berharga sekitar RM 250.00 sebuah berbanding modem yang asas seperti D-Link DSL-2640B yang berharga sekitar RM 80.00 sebuah. Jika kita hanya pengguna biasa yang tidak memerlukan fungsi tambahan seperti NAS ataupun hos pencetak, modem asas sudah memadai.

Namun begitu, jika reka bentuk rumah menghalang liputan WiFi yang baik, penggunaan alat WiFi Range Extender boleh membantu modem sedia ada untuk memanjangkan jangkauan isyarat WiFi ke bahagian rumah yang bermasalah.