Monday, 3 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 4 (Masih Mencangkul)

Tiada banyak yang ingin diperkatakan. Cuma lebih kurang 40% sahaja kawasan yang siap dicangkul. Tanah keras dan berbatu menyukarkan keadaan.


Sunday, 2 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 3 (Cangkul)

Setelah membuat sempadan menggunakan cangkul kecil semalam dan juga melalui kepayahan mencangkul di tanah yang keras dan berbatu, saya sedar saya memerlukan cangkul besar.

Jadi, dalam perjalanan ke tempat kerja saya singgah di kedai hardware di Kampung Nyiur, Paka. Saya telah membeli cangkul dengan harga RM 30.00.

Pada waktu petang selepas waktu kerja, saya mula mencangkul. Sememangnya bukan mudah untuk mencangkul walaupun kawasan yang dicangkul hanyalah seluas 3.33 meter persegi, tetapi dek kerana tanah yang keras dan berbatu menyukarkan kerja-kerja mencangkul.

Setelah mencangkul selama 2 jam (dan juga masa rehat yang tak terkira) hanya lebih kurang 15% sahaja siap. Saya berhenti mencangkul untuk hari ini dan bersambung keesokan harinya.

Masih banyak yang perlu dicangkul

Saturday, 1 August 2015

Jurnal Tani PT14198 : Bahagian 2 (Mengenalpasti Tapak)

Saya telah mengenalpasti tapak yang strategik di belakang rumah sebagai tapak untuk kebun kami. Walaubagaimanapun, tanah di belakang rumah adalah dari jenis tanah liat dan berbatu. Bagus untuk tapak rumah tetapi kurang sesuai untuk pertanian.

Jadi saya telah memperuntukkan kawasan seluas lebih kurang 2.58 meter lebar dan 1.29 meter untuk dibuat batas. Saya mula menanda kawasan sempadan menggunakan cangkul kecil dan saya dapati tanahnya keras dan berbatu.

Ini merupakan cabaran pertama saya dari sekian banyak cabaran yang akan saya hadapi nanti. Tetapi alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan.

Jika perkiraan saya tepat, saya memerlukan kira-kira 36 biji batu-bata untuk membuat sempadan batas nanti.

Garisan sempadan batas di belakang rumah dibuat menggunakan cangkul kecil

Thursday, 30 July 2015

Jurnal Tani PT14198 : Bahagian 1 (Mulanya Disini)

Setelah sekian lama blog ini berhabuk tidak berusik, saya terbuka hati kembali untuk mengemaskini blog ini. Saya masih menulis untuk catatan persendirian tentang pelbagai perkara yang berlaku di sekitar saya.

Alhamdulillah, saya sudah pun berpindah ke kediaman baru di Dungun setelah 5 tahun duduk di Kerteh. Seiring dengan pertambahan ahli dalam keluarga saya, kediaman baru ini lebih selesa dan kemas. Kediaman ini juga mempunyai tanah yang agak luas di bahagian tepi dan belakang rumah. Isteri mula menyuarakan hasrat untuk mula berkebun dengan menanam sayur-sayuran dan pokok yang berguna dalam masakan. Sekurang-kurangnya dapatlah jimat sedikit belanja dapur.

Jadi saya akan menggunakan blog ini untuk merakamkan aktiviti-aktiviti berkenaan pertanian melalui tag Jurnal Tani PT14198. Saya menggunakan catatan dalam jurnal ini untuk rujukan saya dan juga sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat yang berkaitan. Jika ada cadangan ataupun petua berkaitan kebun bandar ini, sila tinggalkan maklum balas anda di ruangan komen.

Terima kasih :)