Thursday, 6 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 7 (Membeli Tanah Bakar dan Keperluan Lain)

Hari ini saya telah ke Rohana Nursery untuk membeli barang-barang berikut:
  1. 18 kampit tanah bakar = RM 40.00 (RM 20.00 untuk 9 kampit)
  2. 2 dulang semaian = RM 10.00
  3. 2 kg baja tahi ayam = RM 5.00
Jadi kesemuanya berjumlah RM 55.00.

Tanah bakar dan baja tahi ayam

Perjalanan dari Paka balik ke rumah pada hari ini merupakan perjalanan yang paling memualkan bagi saya setakat ini. Ini kerana bau baja tahi ayam sangat menusuk hidung walaupun diletakkan di bahagian but kereta.

Pada hari ini juga, bungkusan dari Diaripetani.com telah sampai. Walaubagaimanapun, saya dapati hanya benih sahaja yang sampai. Saya terus menghubungi penjual berkenaan dengan bungkusan yang tidak lengkap. Tanpa banyak soal, penjual mengakui kesilapan dalam penghantaran dan akan menghantar baja kemudian.

Biji benih yang diterima

Wednesday, 5 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 6 (Siap Mencangkul dan Menyusun Batu-Bata)

Alhamdulillah, akhirnya saya Berjaya menyiapkan kawasan batas berukuran 2.58 meter X 1.29 meter dan mempunyai kedalaman lebih kurang satu inci. Saya juga telah menyusun batu-bata sebanyak 36 ketul seperti dalam perkiraan awal saya dahulu.
 
Apabila batu-bata telah disusun rapi, langkah seterusnya adalah untuk mengisi tanah yang sesuai untuk penanaman.

Batu-bata telah siap disusun di sekeliling tapak batas

Tuesday, 4 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 5 (Merancang Tanaman dan Membeli Bahan Keperluan)

Hari ini saya sambung mencangkul seperti biasa. Saya juga berbincang dengan isteri tentang pemilihan tanaman. Kami bersetuju untuk membeli benih dan baja foliar dari Diaripetani.com. Benih dan baja yang kami beli adalah:

Benih
  1. Tomato King Kong (tanam dalam pasu)
  2. Daun Ketumbar (tanam dalam pasu)
  3. Lobak Merah (tanam dalam bekas)
  4. Sawi Jepun (tanam atas batas)
  5. Lobak Putih (tanam dalam bekas)
  6. Bayam Daun Bulat (tanam atas batas)
Baja
  1. 22.22.10.1 (Penggalak pertumbuhan)
  2. 13.26.26 (Penggalak bunga dan buah)
Kesemua baja dan benih berharga RM 30.00 termasuk penghantaran. Pembayaran dibuat melalui Maybank2u.

Saya juga membeli 40 ketul batu-bata yang berharga RM 0.27 setiap ketul dari kedai hardware yang hanya 10 meter dari rumah. Jadi, jumlah harga batu-bata adalah RM 10.80. Ditambah caj penghantaran RM 5.00 (kerana mereka mengambil stok dari tempat lain), kesemuanya berjumlah RM 15.80. Penghantaran batu-bata dibuat pada hari yang sama kerana jarak rumah kami dengan kedai adalah dekat.

Tinggal sedikit sahaja yang perlu dicangkul

Monday, 3 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 4 (Masih Mencangkul)

Tiada banyak yang ingin diperkatakan. Cuma lebih kurang 40% sahaja kawasan yang siap dicangkul. Tanah keras dan berbatu menyukarkan keadaan.