Monday, 10 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 10 (Mula Menyemai Benih)

Hari ini isteri saya mula menyemai benih di dalam dulang semaian. Benih yang disemai adalah:
  1. Lobak merah
  2. Kuchai
  3. Lobak putih
  4. Bayam
  5. Tomato
  6. Sawi

Benih yang disemai di dalam dulang semaian (germination tray)

Pada hari ini juga bungkusan mengandungi baja telah diterima daripada Diaripetani.com. Terima kasih.

Baja foliar yang dikirim

Sunday, 9 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 9 (Tanah Tak Cukup!)

Alhamdulillah cuaca pada petang ini baik, tidak hujan seperti 2-3 hari lepas. Jadi, saya pun mula meletakkan tanah di dalam tapak batas yang telah dibuat sebelum ini. Namun, 18 kampit tanah bakar ternyata tidak mencukupi untuk mengisi tapak batas!

18 kampit tanah bakar tidak cukup!

Jadi, saya mula mencari alternatif lain. Setelah mencari idea di Internet dan forum, saya mengambil keputusan untuk menggunakan tanah merah (tanah baja) untuk lapisan bawah dan meletakkan tanah bakar untuk lapisan atas.

Saya terus menghidupkan motosikal saya dan pergi ke kedai input pertanian bersebelahan dengan 7-Eleven Alor Tempoyak. Saya membeli 5 kampit besar tanah hitam pada harga RM 11.60 sekampit. Jadi jumlah harga yang dibayar untuk 5 kampit besar ialah RM 58.00 termasuk penghantaran ke rumah! Jadi, untuk lebih jimat, carilah tanah bakar di kedai input pertanian (biasanya hanya menjual barangan input pertanian seperti baja, makanan ternakan dan sebagainya).

Tanah hitam yang dibeli dari kedai input pertanian berhampiran, dapat diskaun bila beli 5 kampit

Selepas itu saya mula berfikir di mana hendak mendapatkan tanah baja? Disebabkan tapak batas memerlukan kuantiti tanah yang banyak untuk mengisi ruang yang telah dibuat, saya berfikir untuk membeli tanah secara pukal.

Jadi saya berjalan di sekitar Dungun sehinggalah saya ternampak iklan di suatu kawasan yang sedang ditarah bukit untuk tujuan pembangunan berhampiran Kolej Vokasional Dungun. Saya terus menghubungi nombor yang tertera di iklan dan panggilan saya dijawab oleh seorang lelaki. Rupa-rupanya dia berada di kawasan tersebut. Pada mulanya dia mahu menjual selori tanah baja pada harga RM 100.00 tetapi saya tidak memerlukan tanah sebanyak itu kerana ruang yang kecil.

Tempat saya membeli tanah baja sebanyak setengah lori

Setelah berbincang, saya ditawarkan untuk membeli separuh lori tanah baja pada harga RM 50.00 dan terus bersetuju. Tanah baja diisi ke dalam lori dan dihantar ke rumah saya 15 minit kemudian. Syukur akhirnya masalah tanah berjaya diselesaikan.

Setengah lori tanah diletakkan di depan rumah

Alhamdulillah.

Saturday, 8 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 8 (Hujan Lebat)

Sejak dua tiga hari ini, hujan lebat turun pada waktu petang. Jadi, saya tidak boleh memulakan kerja-kerja mengisi tanah ke dalam batas. Cukup atau tidak tanah bakar yang saya beli dua hari lepas?

 
Air bertakung dalam tapak batas

Thursday, 6 August 2015

Jurnal Pertanian PT14198 : Bahagian 7 (Membeli Tanah Bakar dan Keperluan Lain)

Hari ini saya telah ke Rohana Nursery untuk membeli barang-barang berikut:
  1. 18 kampit tanah bakar = RM 40.00 (RM 20.00 untuk 9 kampit)
  2. 2 dulang semaian = RM 10.00
  3. 2 kg baja tahi ayam = RM 5.00
Jadi kesemuanya berjumlah RM 55.00.

Tanah bakar dan baja tahi ayam

Perjalanan dari Paka balik ke rumah pada hari ini merupakan perjalanan yang paling memualkan bagi saya setakat ini. Ini kerana bau baja tahi ayam sangat menusuk hidung walaupun diletakkan di bahagian but kereta.

Pada hari ini juga, bungkusan dari Diaripetani.com telah sampai. Walaubagaimanapun, saya dapati hanya benih sahaja yang sampai. Saya terus menghubungi penjual berkenaan dengan bungkusan yang tidak lengkap. Tanpa banyak soal, penjual mengakui kesilapan dalam penghantaran dan akan menghantar baja kemudian.

Biji benih yang diterima