Thursday 10 November 2011

Sambutan Aidil Adha di Tanah Adat

Pada 6 November 2011 yang lepas, seluruh umat Islam di atas muka bumi ini menyambut Hari Raya Aidil Adha atau pun dikenali sebagai Hari Raya Qurban. Kebiasaannya, umat Islam menyambutnya dengan ibadah qurban atau pun menyembelih haiwan-haiwan ternakan sebagai memperingati kisah Nabi Ismail dan bapanya Nabi Ibrahim. Daging-daging korban ini akan diagih-agihkan kepada orang ramai dan golongan-golongan yang memerlukan.

Tetapi itu tidak berlaku dalam keluarga aku untuk sambutan tahun ini. Selepas menunaikan solat Hari Raya Aidil Adha, kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar Gemas dan Melaka. Kami sekeluarga menaiki dua buah kereta dalam penjelajahan ini. Destinasi pertama adalah Stesen Keretapi Gemas yang terletak kira-kira 12 kilometer dari FELDA Sungai Kelamah, kampung halamanku.



Di platform Stesen Keretapi Gemas
 
Kawasan sekitar stesen kereta api ini sedang giat dibangunkan semula untuk memberi ruang kepada projek kereta api elektrik dengan landasan berkembar dari Kuala Lumpur. Khabarnya, stesen lama ini akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan projek kereta api elektrik ini. Jika ini benar, maka hilanglah warisan sejarah sistem rangkaian kereta api di Malaysia ini. Stesen Keretapi Gemas merupakan stesen terpenting menghubungkan laluan dari Pantai Timur, Pantai Barat dan Singapura. Jadi aku sekeluarga merakamkan gambar kenang-kenangan di sini andai stesen ini akan hilang ditelan kemajuan di masa akan datang.

5 beradik di stesen kereta api


Selepas itu, kami ke Melaka pula. Seperti yang dijangka, bandar Melaka kini mengalami pembangunan yang pesat dan sudah mula mengalami kesesakan. Jika anda ingin ke Melaka, anda disarankan untuk meletak kereta di kawasan letak kereta di Kompleks Dataran Pahlawan yang menawarkan kadar letak kereta "sekali masuk" (per entry) dan tidak mengikut jam. Selepas itu, kami makan tengah hari di Mahkota Parade sebelum meneruskan sesi lawatan di Melaka.

 
Dahulunya padang, sekarang menjadi kompleks membeli-belah


Bandar Hilir, Melaka 


Sesudah makan, kami menuju ke kawasan tarikan pelancong yang terkenal di Melaka iaitu di sekitar Bandar Hilir seperti A Famosa. Kami juga melawat Memorial Perisytiharan Kemerdekaan dan berpeluang melihat kereta Chevrolet bernombor pendaftaran BE52 yang digunakan oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman semasa membuat perisytiharan kemerdekaan di bandar Melaka pada tahun 1957.

 
Memorial Perisytiharan Kemerdekaan


Kereta Chevrolet bernombor pendaftaran BE52 yang bersejarah


Kami juga telah mendaki Bukit St. Paul yang menempatkan runtuhan Gereja Saint Paul. Bersempena dengan cuti umum, replika Istana Kesultanan Negeri Melaka yang terletak berdekatan ditutup dan kami hanya mampu untuk bergambar dari luar pagar sahaja.

 
 Di hadapan Kota A Famosa


 Di atas Bukit St. Paul, binaan berwarna putih di belakang kami sebenarnya adalah kubur Belanda


 Sebahagian runtuhan binaan gereja St. Paul


 Kediaman TYT Melaka


Pemandangan dari atas Bukit St. Paul
Apabila hari menjelang petang, kami bergerak meninggalkan Melaka menuju ke FELDA Sungai Kelamah melalui Lebuhraya Utara-Selatan dari Ayer Keroh. Sebagai perbandingan, masa yang diperlukan untuk sampai ke Melaka dari Gemas adalah 1 jam melalu jalan Tebong-Kuala Sungga, tetapi untuk sampai ke plaza tol Ayer Keroh dari Bandar Melaka mengambil masa 40 minit disebabkan oleh lampu isyarat yang banyak dan mengambil masa yang lama untuk berhenti di satu-satu persimpangan. Kami tiba di kampung pada pukul 9:00 malam.

No comments: