Kecerdasan Buatan (AI) tidak dapat dipisahkan dari kehidupan masa kini. Penggunaan AI yang meluas dan perkembangan teknologi berkaitan AI yang pesat telah meningkatkan permintaan terhadap pembinaan pusat data yang berfungsi untuk menyimpan dan memproses data dalam skala yang besar. Tidak dinafikan, pembinaan pusat data membawa manfaat kepada peningkatan ekonomi dan kemajuan teknologi. Namun begitu, kesan jangka panjang akibat pembinaan pusat data yang tidak terkawal tidak seharusnya diabaikan.
Pusat data merupakan satu kemudahan yang dilengkapi dengan komputer dan pelayan berprestasi tinggi dalam skala besar untuk pemprosesan data. Kelengkapan ini sudah semestinya memerlukan kuasa elektrik yang banyak untuk berfungsi. Permintaan tenaga yang tinggi boleh menyebabkan grid kuasa nasional terjejas jika tidak dirancang dengan betul. Jika perkara ini tidak ditangani dengan betul, pengguna-pengguna domestik dan industri lain boleh terjejas, seterusnya menyebabkan aktiviti sosial dan ekonomi tergendala akibat gangguan kuasa.
Selain itu, permintaan kuasa elektrik yang tinggi untuk kegunaan pusat data menyebabkan pelepasan karbon turut meningkat. Hal ini kerana penjanaan kuasa di Malaysia masih banyak bergantung kepada sumber bahan api fosil. Walaupun Malaysia mempunyai loji janakuasa hidro dan solar, kapasiti kuasa yang disediakan hanya menyumbang sebahagian kecil daripada keperluan tenaga secara keseluruhan. Jika tidak dikawal, pelepasan gas rumah hijau bertambah dan boleh menyebabkan perubahan iklim yang tidak menentu.
Pusat data mempunyai banyak komputer dan pelayan berprestasi tinggi. Peralatan canggih di dalam pusat data memerlukan sistem penyejukan yang efisien untuk berfungsi dengan cekap. Permintaan terhadap bekalan air bersih akan bertambah secara drastik dan berpotensi untuk menjejaskan bekalan air untuk keperluan industri dan penduduk setempat. Oleh itu, pusat data harus merancang penggunaan sumber air secara lebih teliti untuk mengelakkan pembaziran dan menjejaskan masyarakat serta industri setempat.
Apabila pusat data dibina, ianya memerlukan kawasan tanah yang luas. Hutan-hutan akan ditarah untuk memberi ruang kepada pembinaan pusat data serta infrastruktur berkaitan seperti pencawang elektrik, loji pemprosesan air setempat dan juga jalan raya. Pembinaan pusat data secara tidak terkawal boleh menyebabkan kemusnahan flora dan fauna serta mengubah landskap setempat. Akibatnya, bencana alam boleh berlaku dan menjejaskan penduduk setempat.
Teknologi sentiasa bergerak pantas, begitu juga dengan perkakasan komputer yang berkaitan. Perkakasan komputer seperti peranti storan, memori, unit pemprosesan pusat (CPU) dan unit pemprosesan grafik (GPU) yang sangat penting untuk industri AI perlu diganti secara berkala. Perkakasan lama yang dilupuskan akan menambah sisa buangan elektronik. Jika tidak diurus dengan betul, sisa elektronik ini boleh menyebabkan pencemaran terhadap alam sekitar. Mekanisma kitar semula harus diperkasakan untuk mengurangkan impak akibat pelupusan sisa elektronik ini.
Pusat data beroperasi tanpa henti, 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Peralatan komputer di pusat data menghasilkan bunyi bising yang boleh mengganggu penduduk setempat. Pekerja-pekerja pusat data yang bekerja di sana akan menambahkan aliran trafik di kawasan setempat. Risiko kemalangan jalan raya akan meningkat akibat pertambahan aliran trafik di kawasan tersebut. Oleh itu, pusat data hendaklah dibina jauh dari kawasan penempatan.
Penggunaan AI berasaskan awan atau ‘cloud’ boleh menyebabkan data peribadi, maklumat perniagaan dan rahsia perdagangan diproses di luar kawasan premis pemilik data itu sendiri. Jika aspek-aspek keselamatan data digital tidak diambil berat, maklumat sensitif berpotensi terdedah kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, pusat data haruslah dilengkapi dengan sistem keselamatan yang mencukupi untuk melindungi pengguna daripada kecurian data sensitif.
Pembinaan pusat data sudah semestinya akan menarik pelabur asing untuk melabur di negara kita. Limpahan manfaat ekonomi sudah semestinya akan memberi kesan yang positif kepada rakyat dan negara. Namun begitu, pusat data tidak memerlukan pekerja yang ramai untuk beroperasi kerana semuanya menggunakan sistem automasi. Oleh itu, pihak kerajaan harus mengkaji kesan pembinaan pusat data dari segala sudut serta tidak mementingkan keuntungan ekonomi semata-mata.
Penggunaan AI secara meluas akan meningkatkan kebergantungan sesebuah organisasi terhadap pusat data dan perkhidmatan perkomputeran yang berkaitan. Pusat data dan organisasi sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko seperti gangguan bekalan elektrik, serangan siber dan kegagalan sistem yang boleh menjejaskan operasi industri. Sesebuah organisasi harus merancang pengurusan data mereka secara lebih teratur untuk mengurangkan risiko-risiko berkaitan keselamatan data terhadap operasi mereka.
Pembinaan pusat data secara berlebihan tanpa mengambil kira faktor permintaan AI itu sendiri berpotensi menyebabkan kemudahan ini tidak digunakan secara sepenuhnya. Fenomena ini akan menyebabkan pembaziran sumber alam, modal, tanah, tenaga dan bahan mentah yang diperlukan untuk membina pusat data. Kita seharusnya merancang setiap pembinaan pusat data secara teliti.
Kesimpulannya, pembinaan pusat data membawa faedah yang besar kepada perkembangan ekonomi, pembangunan masyarakat dan kemajuan teknologi. Namun begitu, ia turut memberi kesan jangka panjang terhadap alam sekitar, masyarakat dan keselematan data. Oleh itu, pihak kerajaan dan industri harus bekerjasama menggembleng tenaga serta buah fikiran dalam memastikan pembinaan pusat data dijalankan secara cekap dan lestari. Pembangunan AI seharusnya membawa kesejahteraaan kepada manusia dan tidak mengorbankan kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang.

No comments:
Post a Comment