Hari Guru disambut pada setiap hari yang ke-16 dalam bulan Mei sebagai tanda untuk memperingati jasa dan pengorbanan guru yang telah bersusah payah memerah keringat dalam menjalankan tugas mulia mereka mendidik anak bangsa menjadi insan yang cemerlang. Peranan mereka dalam membentuk masyarakat yang berilmu dan beradab sememangnya amat penting dalam membina sebuah tamadun. Lantas tidak hairanlah lazimnya dalam pembentangan bajet untuk setiap Rancangan Malaysia bajet untuk sektor pendidikan mendapat jumlah yang tertinggi berbanding sektor lain seperti pertahanan.
Saya secara peribadi tidak memandang guru sebagai insan yang hanya memberi tunjuk ajar sahaja, tetapi saya suka memandang mereka sebagai jurutera, jurutera masyarakat. Jika kita melihat tugas lazim seorang jurutera, jurutera bertanggungjawab dalam mereka bentuk, merancang dan menyelenggara sesebuah mesin, bangunan, jambatan dan sebagainya. Begitu jugalah dengan tugas guru. Malah ruang lingkup tugas mereka sebenarnya lebih besar dari seorang jurutera kerana subjek sasaran mereka bukanlah sebuah mesin tetapi manusia. Membentuk manusia adalah lebih sukar daripada mereka bentuk mesin kerana manusia mempunyai ragam dan emosi yang pelbagai. Maka, memang sewajarnyalah hasil titik peluh dan cetusan idea mereka mendapat penghargaan dari masyarakat.
Mengimbau kenangan Hari Guru, saya teringat tentang sambutan Hari Guru di SDAR semasa saya di Tingkatan 5. Saya telah diberi tanggungjawab di bahagian permainan sempena sambutan Hari Guru 2004. Jadi, saya dan pasukan saya (AJK Permainan, siapa-siapa yang berkenaan sila mengaku) telah merancang permainan berdasarkan kepada rancangan Explorace yang popular di TV3 itu. Permainan tersebut terdiri daripada pasukan guru dan pelajar. Antara cabaran-cabaran yang terdapat dalam permainan tersebut adalah makan sepinggan mee goreng (yeke sepinggan?) selepas berlari dari 'checkpoint' yang sebelumnya kemudian berlari (dengan perut yang penuh selepas makan mee goreng) ke kolam ikan di blok pentadbiran. Cabarannya ialah menangkap ikan tilapia merah dengan menggunakan tangan. Maka berbondong-bondonglah para peserta terjun ke dalam kolam yang airnya hijau berlumut itu. Kepada pasukan guru yang terlibat, kalau ada salah dan silap dari pihak saya dan AJK yang terbabit, saya memohon maaf. Saya harap acara itu menjadi kenangan yang indah buat semua yang terlibat. Lagipun saya tahu, cikgu-cikgu SDAR semuanya cool. Heheh~
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru saya, terutamanya dua guru terhebat saya, En. Mohd. Sadli bin Abd. Hamid dan Pn. Siti Banun bt Ayob (ibu bapa saya juga seorang guru, huhuhu~), guru-guru di SK Sri Langat, Banting (terutamanya guru-guru yang mengajar di kelas 1 Orkid, 2 Orkid, 3 Orkid, 4 Cempaka, 5 Cempaka dan 6 Cempaka), guru-guru di Sekolah Dato' Abdul Razak (terutamanya guru-guru yang mengajar di Sikamat: 1 Ungku Omar, 2 Ungku Omar; Sungai Gadut: 3 Ungku Omar, 4 Al-Razi, dan 5 Al-Razi) dan pensyarah-pensyarah di Universiti Teknologi PETRONAS (Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik). To all teachers, you are the best engineer in the world nonetheless, designing and maintaining good civilization throughout the world. :)
p/s: Belajar Terus Belajar, Berilmu Untuk Berjasa, Engineering Futures
No comments:
Post a Comment