Monday, 23 May 2011

Adakah Harga Kenderaan Mempengaruhi Harga Otak Seseorang Itu?

Apa pendapat anda tentang pernyataan di atas? Berikut saya berikan beberapa situasi untuk direnung:

Situasi 1

Tempat: Kawasan letak kereta Mesra Mall
Kenderaan: Sebuah kereta jenis Nissan Sentra model terbaru

Pemandu kereta ini mengalihkan kon yang diletakkan di ruang letak kereta untuk OKU sedangkan banyak lagi petak yang kosong. Dipercayai pemandu kereta itu ingin meletakkan keretanya di situ kerana lokasinya yang berhampiran dengan pintu masuk pusat membeli belah itu. Tanggapan awal saya tentang pemandu tersebut adalah beliau MUNGKIN merupakan orang kampung yang hanya banyak duit tapi tiada kesedaran sivik.

Situasi 2

Tempat: Laluan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran dengan Rantau PETRONAS
Kenderaan: Sebuah kereta jenis Proton Wira yang telah diubahsuai

Pemandu kereta merupakan seorang wanita dan di dalamnya terdapat 3 orang penumpang yang lain, kesemuanya wanita. Penumpang termasuk pemandunya sekali dengan tanpa rasa bersalah membuang bungkusan makanan keluar dari kenderaan sehingga terkena sebuah kereta jenis Proton Satria Neo berwarna hitam yang dipandu oleh seorang lelaki botak. Tanggapan awal saya tentang kumpulan wanita berkenaan ialah MUNGKIN mereka merupakan penduduk kampung yang memandu kereta terpakai dan berasal dari kawasan pedalaman Pahang (kereta berkenaan mempunyai nombor pendaftaran dari Pahang).

Situasi 3

Tempat: Gerai burger King Burger di Bandar Sri Kerteh, berhadapan dengan pasar mini R-Tinie
Kenderaan: Motosikal jenis Honda EX5

Pemilik motosikal di atas merupakan penjual burger di gerai berkenaan. Setiap kali saya membuat tempahan burger melalui telefon (kadang-kadang saya membuat tempahan kerana malas menunggu), beliau tidak pernah lupa untuk memberi salam kepada pelanggannya sebelum mengambil tempahan. Walaupun mempunyai muka yang garang serta suara yang agak tegas, tetapi sikap profesional beliau amat saya senangi. Kawasan gerainya bersih, dan sampah tidak dibuang merata-rata seperti kebanyakan gerai burger yang saya telah lawati. Cara penyediaan burger yang sangat tersusun juga merupakan sebab saya amat menghormati beliau. Apabila menerima bayaran dari pelanggan, beliau tidak pernah lupa untuk berakad (bukan akad nikah, tapi ucapan "Saya jual" dan disambut oleh pelanggan, "Saya beli") dan mengucapkan terima kasih kepada pelanggan. Saya kira beliau lebih baik daripada pelayan wanita di kedai makan yang berwajah cantik, berkulit putih (beliau berkulit gelap), berdada bidang tetapi tidak tahu adab serta kurang ajar.

Kesimpulannya, kita boleh membuat tanggapan awal, tetapi kita tidak boleh mengambil tanggapan awal berkenaan sebagai penilaian kita terhadap seseorang sehinggalah kita mengenali perwatakan mereka.

2 comments:

Aizat . Iz said...

Situasi yg No.2 mcm ku tahu sape yg kene..haha

Muhammad Afiq bin Mohd Sadli said...

kete baru ke lame, lawa ke burok, tp kalo ade org buang sampah ke kete kite, mmg sgt hanco hati itu~ rase mau langgar saje, tp syg kete sniri pny psl so x langgar~ ahahah~