Monday, 8 June 2009

Lawatan Singkat ke Tanah Adat

Hujung minggu lepas merupakan minggu yang paling sibuk dan memenatkan bagi saya. Kondangan (undangan majlis perkahwinan) yang tidak berhenti-henti dan pada hari Ahad saya pulang ke kampung untuk mengambil adik-adik saya yang pulang ke kampung sejak Jumaat lepas. Maklumlah, keluarga saya yang agak besar tidak memungkinkan 5 beradik bersama ibu bapa saya boleh muat dalam sebuah Proton Waja. Jadi, saya berkonvoi dengan ayah balik ke kampung (sebuah Perodua Kancil dan sebuah Proton Waja) yang terletak di Gemas, Negeri Sembilan.

Sebuah kereta tidak mampu untuk menampung seisi keluarga...


Kami tidak terus balik ke kampung, sebaliknya singgah ke tanah kelahiran nenek saya di Kg. Titian Akar, Kota, Negeri Sembilan. Tujuannya adalah untuk melawat ibu saudara emak saya yang baru melangsungkan perkahwinan pada hari sebelumnya. Kami datang dengan langkah kanan kerana pihak tuan rumah telah menjamu kami dengan durian kampung yang ditanam di sekitar rumah. Musim durian rupanya di kampung ini! Namun, tidak banyak durian yang dapat dipulun kerana perut sudah penuh dengan lauk-lauk tipikal kenduri kahwin yang sememangnya boleh mengundang sakit perut seperti kari, ayam masak merah dan rendang daging. Sangat merugikan kerana hanya 3 biji durian sahaja yang mampu dihabiskan untuk tiga orang.

Durian kampung yang segar dari kebun. Sayangnya hanya dapat makan sedikit sahaja...

Selepas itu, kami meminta diri untuk meneruskan perjalanan ke Gemas. Dalam perjalanan pulang, kami telah singgah di Makam Raja Melewar dan Replika Istana Raja Melewar di Astana Raja, Rembau yang terletak tidak jauh dari Kg. Titian Akar. Antara yang menarik ialah replika Batu Bertikam yang signifikan dalam pertelingkahan antara Sutan Balun dan Sutan Baso di Batusangkar, Indonesia (Google lagi untuk lebih info). Selain itu, terdapat juga pameran barang-barang peribadi milik Undang di setiap luak di Negeri Sembilan. Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah boleh dikatakan hampir semua Raja dan pembesar di Negeri Sembilan adalah berjiwa 'explorer' ataupun pengembara. Hal ini disebabkan kerana hampir semua makam terletak di tepi jalan dan tidak ada kompleks pemakaman seperti di Jugra dan sebagainya. Mungkin mereka ini mangkat semasa dalam penjelajahan mereka untuk membuka negeri dan dikebumikan di situ juga.

Makam Raja Melewar


Signing in


Replika Istana Raja Melewar


Batu Bertikam. Bentuknya mengundang kontroversi...


Kami melawat kompleks replika istana itu selama setengah jam dan kemudiannya meneruskan perjalanan balik ke kampung emak di Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan.

Ayah tidak dapat menahan keseronokan memandu di jalan kampung. Heheheh~


Sayangnya saya tidak sempat bermalam di sana disebabkan oleh tuntutan kerja pada keesokan harinya. Saya bertolak balik dengan adik-adik saya menaiki Proton Waja (ibu bapa saya menaiki Perodua Kancil berdua-duaan) dan tersekat dalam kesesakan lebuhraya yang teruk bermula dari persimpangan Pedas, Negeri Sembilan. Perjalanan dari Pedas ke Senawang sejauh 16 km mengambil masa selama sejam menyebabkan saya keluar dari lebuhraya melalui persimpangan Senawang menuju ke Seremban, tempat permainan saya zaman dulu-dulu. Kami singgah sebentar di Restoran A&W Seremban berhampiran taman tasik untuk mengisi perut. Kemudian saya meredah kepekatan malam dari Seremban melalui jalan biasa Felda L.B. Johnson di Labu ke KLIA dan terus ke Banting. Kami tiba di rumah pada pukul 12.30 malam.

Diganggu makhluk ungu di kampung


p/s: Perbilangan adat perpatih ada mengatakan:

Bulat anak buah menjadi Buapak,
Bulat Buapak menjadi Lembaga,
Bulat Lembaga menjadi Penghulu,
Bulat Penghulu menjadi Raja.

6 comments:

ngengngok said...

kau bwk blek durian x?

Muhammad Afiq bin Mohd Sadli said...

tiada~

izzie said...

gambar ngan raksasa ungu tu yg xleh blah..
ha ha ha

tengku Anis said...

afiq, bile la ko nak membesar nih?

:P

Muhammad Afiq bin Mohd Sadli said...

aku kan sentiase mude~ ngueh3~

cikun said...

gambar ko x bleh blah toll!!!hahhahahahahhaha