Friday, 31 July 2009

Karangan SPM 2009: Kesan-kesan Penularan Wabak Selsema Babi di UTP

Wabak selsema H1N1 atau lebih sinonim dengan nama selsema babi sedang menular di seluruh dunia. Kes selsema babi di Malaysia pula semakin menjadi-jadi apabila empat orang maut disahkan akibat dijangkiti dengan selsema babi. Pelbagai langkah telah diambil oleh Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan wabak yang membawa maut ini. Langkah terbaru menyaksikan penutupan beberapa kem Latihan Program Khidmat Negara (PLKN), maktab-maktab, Institut Latihan Kemahiran Belia Negara (IKBN) institut pengajian tinggi (IPTA) seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila semakin ramai yang dijangkiti dengan Penyakit Seperti Influenza (ILI - Influenza Like Ilnesses).

Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) juga tidak terkecuali apabila telah diarahkan tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah Perak Tengah setelah lebih daripada 90 orang pelajarnya telah dikuarantin apabila dikesan dengan ILI. Penutupan kampus UTP di Tronoh ini berkuatkuasa bermula pada pukul 3.00 petang 31 Julai 2009 dan pelajar-pelajar diberi masa untuk mengosongkan kampus kediaman masing-masing sehingga pukul 12.00 tengah hari pada 1 Ogos 2009. Penutupan ini adalah untuk membendung penularan wabak yang lebih besar dan untuk memberi ruang kepada kerja-kerja menyahjangkit sekitar kawasan kampus dan asrama. Sesungguhnya penutupan kampus ini telah banyak memberi kesan kepada warga kampus UTP.

Antara kesan langsung daripada arahan penutupan ini ialah aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) terpaksa dihentikan selama lebih kurang seminggu sehingga 10 Ogos 2009. Para pelajar pula telah diberi notis singkat untuk mengosongkan asrama dan ini sudah semestinya menimbulkan kekecohan di kalangan pelajar-pelajar UTP. Para pelajar UTP khususnya yang tinggal jauh dari UTP seperti di kawasan pantai timur dan selatan serta yang tidak mempunyai kenderaan sendiri menghadapi kesulitan untuk pulang ke rumah masing-masing. Ini adalah kerana perjalanan pulang ke rumah sudah semestinya melibatkan kos yang tinggi dan wang biasiswa daripada PETRONAS yang lambat dimasukkan ke akaun para pelajar menyebabkan mereka berada dalam keadaan kesempitan wang. Selain itu, tiket-tiket ke destinasi kampung halaman mereka juga adalah terhad apabila ramai yang berpusu-pusu membeli tiket dalam notis yang sebegitu singkat.

Laman web portal pelajar UTP, UTP E-Learning tiba-tiba tidak dapat diakses kerana dipercayai pelayan web (server) telah terjejas akibat trafik web yang meningkat secara mendadak. Ini berlaku ekoran ramai pelajar UTP telah mengakses laman web tersebut secara tiba-tiba pada masa yang sama bagi mendapat kepastian tentang penutupan kampus selama seminggu.

Para pengusaha cafe juga akan mengalami kerugian apabila operasi mereka terbantut kerana ketiadaan sebahagian besar pelajar yang merupakan pelanggan utama mereka. Pun begitu, peluang masih cerah apabila mereka ini dikehendaki untuk membekalkan makanan kepada pelajar-pelajar yang telah dikuarantin di Village 6 blok Duyung bagi pelajar lelaki dan V2C bagi pelajar wanita.

Selain itu, para pelajar tahun akhir juga menghadapi kesulitan kerana mereka ini terlibat dalam projek tahun akhir. Penutupan ini sudah semestinya membantutkan perkembangan projek mereka kerana kebanyakan mereka menggunakan makmal-makmal di UTP bagi menjalankan penyelidikan dan kajian untuk projek mereka. Keadaan ini sudah semestinya merungsingkan mereka kerana mereka mempunyai masa yang singkat untuk menyiapkan projek tahun akhir.

Namun begitu, disebalik kekusutan ini ada hikmahnya. Pengusaha lebuhraya seperti Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan mengaut keuntungan yang lebih daripada biasa apabila para pelajar UTP menggunakan lebuhraya untuk pulang ke kampung halaman. Pengusaha stesen minyak juga mendapat laba yang lebih apabila pelajar UTP berpusu-pusu untuk mengisi minyak kenderaan mereka untuk perjalanan jauh. Ini sudah semestinya merupakan rezeki bagi penduduk setempat dan merancakkan ekonomi setempat.

Para pengusaha bas juga tidak ketinggalan dalam mengaut untung apabila tiket-tiket yang dijual telah habis dibeli oleh para pelajar yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bercuti selama seminggu ekoran daripada penutupan kampus. Bas-bas tambahan telah disediakan yang akan membawa pelajar ke pelbagai lokasi bagi menampung permintaan yang meningkat secara mendadak. Diharap tidak akan ada pengusaha yang menangguk di air keruh dengan menaikkan harga tiket bas dengan sewenang-wenangnya.

Kesimpulannya, penularan wabak selsema babi di UTP telah banyak memberi kesan yang positif dan negatif kepada warganya. Para pelajar UTP pula harus memanfaatkan masa cuti ini untuk mengulangkaji pelajaran dan bagi pelajar tahun akhir, mereka harus memulakan projek tahun akhir mereka dari rumah dengan menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan melalui internet. Sesungguhnya, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Terpulang kepada kita bagaimana untuk memanfaatkan situasi ini.

(676 patah perkataan)


p/s: Pn. Khalijah, sila periksa~ :P

6 comments:

izzie said...

tahniah kerana mendapat cuti~
huhuhu
terpaksa la juga bercuti dari menjadi mafia.

Muhammad Afiq bin Mohd Sadli said...

tp xpe, aku berjaye mendapatkan award bekerje 7 ari seminggu pg td~ hahahahhaha~

ngengngok said...

xleh blah bai karangan kau

Muhammad Afiq bin Mohd Sadli said...

hahahha~ skali skale ape salahnye~

cikun said...

mantap gle bro ko nye karangan ni!!

kompem 1A !! haha..
KELLY sure bangga ng ko..hehe

Muhammad Afiq bin Mohd Sadli said...

mmg da dpt 1A pon BM SPM 2004 la tapi~ skang bahse da tunggang langgang gak~ hahahhaa~